Friday, January 15, 2016

PENGACARA PROGRAM NONA : NORMALA SHAMSUDIN TINGGAL KENANGAN......



Sempena #ulang tahun ke-30 penerbitan program Nona di TV3, pihak produksi merakamkan kenangan khas dengan mereka yang terbabit merealisasikan program itu hingga ia kekal unggul sehingga sekarang.

Sepanjang 30 #tahun bersiaran, 19 pengacara mengendalikan rancangan itu bermula dengan Dian P Ramlee, kemudian digantikan dengan Furzanne R, Azizah Mahzan, Nurfarahin Jamsari, Christine Ling, Ezzah Aziz Fawzy, Puan Sri Normala Shamsudin, Raja Mazian Raja Mohamed, Junaidah Zainudin, Nornisamsila, Azizah Ariffin, Norjuma Habib Mohamed, Nurul Syuhada Nurul Ain, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan, Maya Karin, Farah Fauzana, Neelofa Mohd Noor dan terkini, Fouziah Gous.

Dalam barisan pengacara yang panjang itu, kemunculan Normala Shamsudin paling mendapat tempat di hati penonton. Tidak lengkap bercerita #mengenai rancangan itu tanpa mengaitkan namanya sekali.

Memiliki personaliti menarik, wajah jelita, senyuman manis sentiasa terukir di bibir dan penyampaian bersahaja, dia berjaya membentuk #dirinya menjadi pengacara berkarisma dan disegani dalam dunia penyiaran tanah air.

Pada #rakaman ulang tahun Nona ke-30 di ibu negara Sabtu lalu, Normala antara jemputan khas yang diundang.

Walaupun sudah lama meninggalkan dunia penyiaran terutama selepas mendirikan rumah tangga dengan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Azmi Khalid pada 2005, auranya sebagai seorang selebriti terus kekal.

Beliau masih ramah seperti dulu dan mengimbau semula momen indah ketika mengacarakan Nona, katanya, program wanita itu begitu serasi dengan jiwanya.

“Hampir tujuh tahun mengacarakan Nona, terlalu banyak kenangan manis. Saya suka berjumpa orang ramai dan mendekati wanita serta berkongsi masalah dengan mereka.

“Justeru apabila berpeluang mengacarakan Nona, tentu saja program itu begitu dekat di hati saya,” katanya.

Menurut Normala, sejak Nona diterbitkan sehingga sekarang, rancangan itu berada di landasan yang betul dan banyak memberi aspirasi kepada wanita dengan pengisian bertambah baik.

Menjelaskan #pemilihan pengacara Nona kini adalah pelakon popular seperti Maya Karin, Vanidah Imran dan Fouziah berbanding pada awal kewujudan program itu, pengacara adalah kakitangan TV3 sendiri.

Jelas Normala, pada pandangan peribadinya, pengacara akan lebih memberi penghayatan dalam penyampaian jika mereka sendiri turun padang mencari bahan berita.

“Itu sekadar #pandangan saya, tetapi untuk menilai sama ada pengacara dulu atau sekarang lebih bagus, terpulang kepada penonton. Apa yang dilakukan oleh pihak produksi mungkin pendekatan terbaik untuk terus memikat hati penonton.

“Pun begitu kalau hanya setahun dua bersiaran, seseorang pengacara sukar untuk menjadi ikon yang boleh diingati dalam dunia penyiaran,” katanya.

Normala kini yang menjadi suri rumah sepenuh masa mengakui jarang menonton rancangan TV termasuk Nona.

“Menjadi suri rumah lagi membuatkan saya sibuk menguruskan rumah tangga, anak, membeli keperluan dapur, merancang percutian keluarga dan menemani suami. Alhamdulillah saya bahagia dengan kehidupan hari ini.

“Saya tiada hasrat untuk kembali dalam dunia penyiaran dan ia bukanlah keutamaan saya lagi, berilah peluang kepada orang baru pula,” katanya.

Normala pernah dimahkotakan Pengacara Nona Terbaik 1991 dan mendapat gelaran Wanita Melayu Tercantik dan kini pada usia 50 tahun, Normala tetap jelita.

Ditanya rahsia kecantikannya, ujar Normala dia tiada sebarang petua khusus.

“Tak ada petua, tetapi hidup mesti bahagia dan ceria serta konsisten dengan apa yang kita buat,” katanya yang kini menetap di Perlis.

Normala juga pernah mencuba bakat lakonannya dalam filem Idola pada 2002, Gerak Khas The Movie (2001) dan Gerak Khas The Movie II (2002). Rakaman khas Nona itu akan disiarkan pada 30 Ogos ini di TV3, jam 2 petang.

No comments:

Post a Comment