Tuesday, March 28, 2017

Video keadaan di pekarangan masjid menjadi kecoh apabila berlaku kejadian maki hamun dan pergelutan




MEMALUKAN! Itu yang dapat disimpulkan selepas sebuah video memaparkan pergaduhan di antara dua keluarga bakal pengantin menjadi viral di media sosial, hari ini.

Memetik laporan sebuah akhbar, insiden dipercayai tercetus apabila bakal pengantin lelaki ditumbuk selepas dia mahu beredar dari Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Sabtu lalu apabila mangsa tidak dibenar meneruskan majlis akad nikah gara-gara wang hantaran sebanyak RM15,000 tidak cukup.

Lelaki tersebut yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berpendapatan RM1,500 sebulan sebelum ini dikatakan telah setuju dengan jumlah wang hantaran RM15,000 yang ditetapkan keluarga perempuan ketika majlis merisik, Januari lalu.

“Ketika merisik pihak lelaki minta untuk bayar RM7,500 sebagai wang hantaran namun pihak perempuan minta RM15,000.

“Pengantin lelaki yang setuju dengan jumlah itu namun meminta supaya wang hantaran tersebut dibayar secara ansuran iaitu sebanyak RM10,000 sebelum majlis perkahwinan dan baki lagi RM5,000 dibayar selepas majlis,” kata satu sumber.

Menurut sumber itu lagi, pengantin lelaki sudah pun membayar RM10,000 secara ansuran sebelum majlis perkahwinan berlangsung, namun akibat kegagalan menyerahkan baki RM5,000 keluarga pengantin perempuan tidak membenarkan akad nikah diteruskan.

“Tidak setuju dengan permintaan itu, pengantin lelaki bersama keluarganya memutuskan untuk meninggalkan majlis akad nikah sebelum dia ditumbuk oleh seorang ahli keluarga pengantin perempuan,” katanya lagi.

Pengawal keselamatan berusia 27 tahun itu dikatakan sudah bercinta dengan bakal pengantin perempuan, 21, sejak tiga lalu.

Seperti yang disaksikan dalam rakaman video, keadaan di pekarangan masjid menjadi kecoh apabila berlaku kejadian maki hamun dan pergelutan antara kedua-dua ahli keluarga pengantin.

Keadaan hanya kian reda selepas seseorang dipercayai wakil masjid menggunakan pembesar suara menegur mereka semua berkali-kali supaya berhenti bergaduh. Antara katanya, “masjid bukan tempat bergaduh, tolonglah bertaubat..!” – MYNEWSHUB.CC


No comments:

Post a Comment